Tuesday, August 14, 2018

PENILAIAN ANUGERAH PUSAT SUMBER SEKOLAH PERINGKAT KEBANGSAAN (APSSK) 2018


SELASA, 14 OGOS 2018 merupakan tarikh yang bersejarah kepada warga SMK Ketengah Jaya apabila dinilai dalam Anugerah Pusat Sumber Sekolah Peringkat Kebangsaan 2018 bagi kategori Sekolah Menengah. Anugerah yang berprestij ini dihakimi oleh Dr. Qhamariah binti Samu, Ketua Penolong Pengarah Sektor Pengurusan Sumber Pendidikan, Bahagian Teknologi Pendidikan, KPM dan En. Wan Sanazi bin Ali, Jemaah Nazir Jaminan dan Kualiti, KPM. Semasa penilaian turut dihadiri oleh En. Shafruddin bin Ali Hussin, Pengarah JPN Terengganu, Tn. Hj. Muie bin Ngah, PPD Dungun, Tn. Hj. Alias bin Talib, Ketua Penolong Pengarah, BTPNT, Pegawai-pegawai BTPN Terengganu dan PKG, PIBG dan rakan-rakan strategik SMK Ketengah Jaya. Para hakim disambut dengan gilang-gemilang oleh para pelajar SEJAYA dan kemudiannya disusuli dengan sesi bergambar sebagai kenang-kenangan. Penilaian diteruskan dengan sesi taklimat daripada En. Hamedi Zaidi bin Mamat @ Sidek, Pengetua SMK Ketengah Jaya dan disusuli dengan tayangan video korporat oleh Pn. Rabiahton Adawiyah binti Ibrahim, Guru Perpustakaan Media. Seterusnya panel hakim dibawa  melawat ke bilik-bilik khas dan akhirnya dibawa ke PSS SMK Ketengah Jaya (PUSBA) untuk semakan fail. Syukur Alhamdulillah, penilaian berakhir pada pukul 6.40 petang. Warga Sejaya amat komited dan berharap SMK Ketengah Jaya dapat melakar sejarah gemilang berjaya dinobatkan sebagai Johan Anugerah Pusat Sumber Peringkat Kebangsaan 2018 sekaligus mengharumkan nama Terengganu di persada negara. 


PROGRAM NILAM SEMPENA APSSK 2018

Selasa, 14 OGOS 2018 Program Nilam telah dijalankan di Dewan Besar SMK Ketengah Jaya sempena Penilaian Anugerah Pusat Sumber Peringkat Kebangsaan 2018. Program ini telah dihoskan oleh Unit Bimbingan dan Kaunseling, SMK Ketengah Jaya. Antara aktiviti nilam yang telah dijalankan ialah tayangan video motivasi Dr Azizan Osman yang bertajuk "Hidup untuk memberi" dan tayangan filem "Sarjan Hassan" sempena bulan kemerdekaan. Berdasarkan video yang telah ditonton murid terus menterjemahkan aktiviti mereka di dalam buku nilam. Selain daripada video yang ditonton, murid menjalankan pelbagai aktiviti seperti lakonan, menyanyi, deklamasi sajak, membina ayat, membuat rumusan. Aktiviti-aktiviti nilam yang dijalankan amat memberi impak kepada para pelajar dalam usaha menyuburkan budaya membaca di kalangan warga SMK Ketengah Jaya (Sejaya). Program seperti ini akan diteruskan lagi pada masa akan datang. Syabas dan sekalung tahniah kerana para pelajar dapat mengikuti program ini dengan penuh semangat. 

Friday, August 10, 2018

MAJLIS SOLAT HAJAT SEMPENA APSSK, PT3, SPM & STPM 2018


“Dan mintalah pertolongan dengan jalan sabar dan mengerjakan solat,Sesungguhnya solat itu amatlah berat kecuali orang-orang yang khusyuk;(Iaitu) mereka yang percaya dengan yakin bahawa mereka akanmenemui Tuhan mereka dan bahawa mereka akan kembali kepadaNya”. (Surah Al Baqarah 45-46)

Pada hari ini berlangsungnya Majlis Solat Hajat sempena menjelangnya Penilaian Anugerah Pusat Sumber Sekolah Peringkat Kebangsaan (APSSK), Peperiksaan PT3, SPM dan STPM 2018. Majlis telah diadakan di Dewan Sekolah SMK Ketengah Jaya. Program dengan kerjasama PIBG sekolah telah mendapat sambutan yang sangat menggalakkan, Kami warga sejaya amat berharap agar penilaian APSSK berjalan dengan lancar sekaligus Sejaya dapat melakar sejarah gemilang di persada kebangsaan. Warga Sejaya juga sangat berharap calon-calon peperiksaan akan terus diberi kelapangan hati untuk menuntut ilmu dan memahami segala ilmu yang telah dipelajari dan hasilnya memperoleh keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan. Allahumma Aamin.